PROMOSI

Monday, October 25, 2010

PERSEDIAAN ULANG KAJI KERTAS 2 BAHASA MELAYU SPM 2010

Arahan :

Pilih satu tajuk soalan no. 4 dalam mana-mana kertas 1 : Bahagian B Peperiksaan Percubaan SPM 2010, kemudian tulis sebuah karangan lengkap yang panjangnya tidak kurang 350 pata perkataan.

Hantar kepada guru anda sebelum atau pada hari Khamis 28 Oktober 2010.

Tuesday, October 12, 2010

BAHAN MENULIS KARANGAN

KESESAKAN JALAN RAYA TINGKATKAN PENGGUNAAN MINYAK DAN PELEPASAN GAS RUMAH HIJAU

Dalam beberapa dekad ini, Malaysia telah menyaksikan pembangunan yang pesat dalam sektor pengangkutan berbanding dengan negara-negara ASEAN yang lain. Di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, kadar peningkatan kereta adalah paling tinggi berbanding dengan kawasan-kawasan yang lain.

Berdasarkan laporan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, hanya 20 peratus penduduk Kuala Lumpur yang menggunakan pengangkutan awam. Keadaan ini telah menyumbang kepada penambahan jumlah kereta di jalan raya dan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran.


(Sumber: Malaysia Automotive Association, 2010)

Pada tahun 1993, Jabatan Alam Sekitar telah menjalankan satu kajian tentang kualiti udara di Lembah Klang, dengan kerjasama Agensi Perbadanan Antarabangsa Jepun (Japanese International Cooperation Agency - JICA). Rumusan kajian tersebut memberi amaran bahawa pencemaran udara akan menjadi tidak terkawal pada masa hadapan jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil. Kajian ini menunjukkan bahawa sekiranya Malaysia terus mengabaikan tentang kadar pelepasan gas rumah hijau ke alam sekitar, maka kadar pencemaran akan bertambah teruk dan kos pencegahan akan semakin meningkat.

Hakikatnya, pada tahun 2008, sebanyak 18 juta kenderaan telah didaftarkan di Malaysia. Jumlah ini merekodkan kadar pelepasan gas rumah hijau sebanyak 4.9 juta metrik ton ke udara dan persekitaran.

Sebab Utama: Kesesakan Lalu-lintas
Peningkatan taraf hidup rakyat di Malaysia telah menyebabkan berlaku kenaikan jumlah kereta di jalan raya. Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh Syarikat Prasarana Nasional Bhd (SPNB), terdapat 2.2 juta kereta masuk ke kawasan bandar pada setiap hari. Waktu antara 8.00 pagi hingga 9.00 pagi dan 6.00 petang hingga 7.00 petang merupakan waktu puncak yang mengalami kesesakan teruk.

Berdasarkan satu kajian, kesesakan lalu-lintas telah menyumbang lepada peningkatan penggunaan minyak sebanyak 30 peratus. Sebagai contoh, aliran traffik di Lebuh Raya Persekutuan adalah sebanyak 100,000 kenderaan dari Klang ke Kuala Lumpur. Jumlah minyak yang diperlukan untuk sampai ke destinasi adalah 10 liter. Pada masa yang sama, 0.7kg merupakan gas rumah hijau yang dihasilkan oleh setiap kenderaan. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh kesesakan lalu-lintas, penggunaan minyak meningkat sebanyak 30 peratus, iaitu lebih 3 liter diperlukan untuk sampai ke destinasi. Jika diukur dengan jumlah wang, sebanyak RM5.40 diperlukan untuk membayar 3 liter tambah itu. Akibatnya, 300,000 liter minyak dan RM540,000 dibazirkan, dan diikuti dengan 70 tan gas rumah hijau dilepaskan di atmosfera pada setiap hari hanya disebabkan oleh kesesakan lalu-lintas.

Jika dilihat pada jumlah kenderaan yang didaftarkan di Malaysia, iaitu sebanyak 500,000 kenderaan baru yang didaftar pada tahun 2009, maka kesesakan lalu-lintas, penggunaan minyak dan kadar pelepasan gas rumah hijau akan bertambah teruk.

Penyelesaian
Pelbagai cara telah dijalankan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya. Walau bagaimanapun, cara-cara yang lebih berkesan kurang mendapat perhatian orang ramai. Salah satu cara ialah amalan berkongsi kereta dan menggunakan pengangkutan awam seperti sistem transit ringan (LRT), bas dan keretapi (KTM). Selain itu, elakkan melalui jalan yang sesak dan cuba menggunakan jalan-jalan yang terdekat ke destinasi juga merupakan cara-cara yang baik. Semua cara ini dapat menjimatkan minyak dan masa secara berkesan. Apa paling penting ahíla ia dapat mengurangkan bilangan kereta di jalan raya dan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera.
Berbasikal dan berjalan kaki merupakan pilihan yang bijak sekiranya destinasi berada dalam lingkungan 1 kilometer. Sejak harga minyak tidak menentu, semakin ramai yang menggunakan pengangkutan awam. Justeru, kerajaan harus memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan dan menaik taraf pengangkutan awam yang sedia ada untuk memenuhi keperluan penumpang. Dengan itu, kesesakan jalan raya dapat dikurangkan dan kehidupan hijau dapat dicapai.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, cara hidup dan juga tabiat rakyat yang perlu diubah seiring dengan usaha kerajaan dalam mengurus dan menyelesaikan kesesakan jalan raya di Malaysia.

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia
Khamis, 12:32, 13 Mei 2010
http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/perubahan-iklim/241-kesesakan-jalan-raya-tingkatkan-penggunaan-minyak-dan-pelepasan-gas-rumah-hijau

-----------------------------------------------------------------
BAHAN KARANGAN FOKUS 2010
ARKIB : 20/09/2010 (Utusan Malaysia)

Mentafsir 10 tahun Ops Sikap
Oleh ABD. RAHIM MD. NOR

SEHINGGA musim perayaan terakhir minggu lepas, sebanyak 22 Ops Sikap telah dilaksanakan di negara ini. Ops Sikap yang mula diperkenalkan pada hujung tahun 2001 ialah antara inisiatif terbesar yang pernah dilaksanakan melibatkan ribuan anggota penguat kuasa dan perbelanjaan jutaan ringgit.
Data rasmi yang telah saya analisis menunjukkan kejayaan langkah-langkah mengurangkan kematian di jalan raya yang amat ketara di negara ini, khususnya sejak Ops Sikap dimulakan.
Kajian saya menggunakan kaedah regresi multivariat dan dengan mengambil kira jumlah kenderaan, jumlah pemandu, jumlah penduduk dan panjang jalan, menunjukkan sekiranya program Ops Sikap tidak dilaksanakan di Malaysia, jumlah kematian tahunan sudah pasti jauh lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang.
Misalnya, pada tahun lepas, negara kita mencatatkan 6,745 kematian di jalan raya untuk setahun (2009), pada hal sekiranya tiada Ops Sikap dan langkah-langkah lain, bilangan kematian tahun 2009 dijangkakan 9,116.
Kematian yang dijangkakan pada tahun 2005, 2006, 2007 dan 2008 ialah 7,684, 7,775, 8,293 dan 8,845 masing-masingnya, tetapi usaha-usaha pihak berwajib termasuk program Ops Sikap telah mengurangkan kematian itu kepada 6,188, 6,287, 6,282 dan 6,527 bagi siri tahun-tahun yang sama (lihat Jadual 1).
Jadual 1
Bagaimana pun, rakyat Malaysia tidak sewajarnya selesa dengan angka-angka ini. Kalau kesedaran telah menyeluruh, sebenarnya kita boleh mengurangkan lagi jumlah kematian ini, seperti negara-negara maju di Eropah dan Jepun.
Ops Sikap yang berakhir baru-baru ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh segolongan pemandu kenderaan bermotor di negara ini. Data rasmi menunjukkan terdapat 196 peristiwa kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian, dan seramai 227 insan telah terkorban sepanjang kempen Ops Sikap ke-22 yang berakhir minggu lepas.
Dalam pada ramai yang bergembira berhari raya, setiap tahun banyak juga keluarga yang berendam air mata kerana kehilangan suami, isteri, anak atau ahli keluarga terdekat yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Rendang dan ketupat yang selalunya menjadi hidangan paling enak di pagi raya, bertukar menjadi hambar dan tawar kerana kesedihan telah membunuh selera makan seluruh keluarga. Jamuan rumah terbuka raya bertukar menjadi majlis tahlil dan kenduri arwah.
Tiada siapa yang perlu dipersalahkan kecuali si pemandu kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang dan orang-orang sekitarnya yang tidak menasihati. Negara kita mempunyai jaringan lebuh raya antara yang terbaik di dunia, berlorong lebar, lengkap dengan papan tanda, dan diceriakan pula oleh barisan pokok bunga dan pokok hiasan lain sepanjang laluan.
Kalau penat dan mengantuk boleh singgah di mana-mana kawasan rehat yang lengkap dengan kemudahan termasuk surau dan calet. Tidak cukup dengan itu, dalam musim perayaan polis ditempatkan di sepanjang lebuh raya untuk memantau pergerakan trafik yang sepatutnya menimbulkan kesedaran kepada pemandu bahawa maut menanti kalau tidak berhati-hati.
Di luar bandar, di mana terdapat banyak jaringan jalan negeri, jalan memang agak lebih berbahaya tetapi banyak yang telah dilebarkan dan diluruskan untuk mengurangkan risiko.
Garisan putih dan kuning pada jalan di kawasan berbahaya, sepatutnya sudah mencukupi untuk mengingatkan pemandu supaya sentiasa mematuhi peraturan untuk mengelak musibah.
Tahun lepas, seramai 6,745 orang terkorban di lebuh raya di negara kita, memberikan purata kematian sekitar 18 orang sehari. Ini bermakna, antara subuh pagi ini dengan pagi esok, akan ada 18 orang yang mati sia-sia di jalan raya.
Angka ini tidak termasuk ratusan sehari yang cedera parah dan hilang upaya, cedera ringan dan terpaksa di rawat di hospital beberapa hari, dan hilang harta benda yang jutaan ringgit jumlahnya.
Apa yang menghairankan ialah masih ramai yang tidak insaf walau pun mereka tahu dan faham semua angka ini. Sikap yang diambil bagi kebanyakan pemandu, terutamanya motosikal, ialah bahawa dia tidak akan mengalami kemalangan; yang terlibat ialah orang lain.
Persepsi masyarakat terhadap konsep kematian juga agak pelik. Kalau seorang atau dua penoreh getah mati di baham harimau, beritanya akan tersiar dalam akhbar, lengkap dengan ceritanya sekali. Tapi, jumlah 18 orang mati di jalan raya setiap hari di seluruh Malaysia, tidak ramai yang peduli.
Kesakitan yang dideritai oleh seorang yang maut atau cedera parah dalam kemalangan jalan raya samalah dengan kesakitan dan penderitaan yang dirasai oleh seorang yang punggungnya dikerkah harimau, semuanya melibatkan kesakitan dan darah yang sama merah.
Cerita tentang orang yang dibunuh kejam yang hanya melibatkan beberapa orang sahaja, terus-terusan menjadi hiasan di dada akhbar harian selama berminggu, tetapi jumlah belasan orang yang mati setiap hari di jalan raya tidak begitu menarik perhatian orang ramai, pada hal kesakitan adalah sama, dan darah yang tumpah adalah sama merah.
Berbagai-bagai usaha yang dianjurkan oleh pihak berwajib sejak dua puluh tahun lepas masih belum dihayati sepenuhnya oleh sebilangan pemandu, terutama yang menggunakan motosikal.
Tempoh operasi sekali Ops Sikap ialah dua minggu walaupun terdapat beberapa Ops Sikap yang tempohnya hanya seminggu yang dipanggil Ops Sikap Khas.
Statistik 22 kali Ops Sikap sepanjang tempoh 2001-2010 bagi bilangan peristiwa kemalangan dan jumlah nyawa yang terkorban atau cedera amat menyedihkan. Bagi 22 Ops Sikap dalam tempoh 2001-2010 itu, sebanyak 279,204 peristiwa kemalangan berlaku, di mana 3,909 peristiwa kemalangan melibatkan sekurang-kurangnya seorang mati.
Jumlah yang mati pula ialah 4,479 orang. Purata bilangan yang mati dalam sehari mencapai dua digit, dengan Ops Sikap IV (Tahun Baru Cina 2003) mencatatkan bilangan mati purata harian paling rendah iaitu 11 dan Ops Sikap III (Hari Raya 2002) mencatatkan purata paling tinggi iaitu 18 orang sehari.
Ini juga bermakna purata kematian sehari sebanyak 16 orang dalam Ops Sikap 22 baru-baru adalah antara yang tertinggi dalam tempoh sejarah program ini selama sepuluh tahun.
Kajian mudah yang menggunakan kaedah ganda dua terkecil yang saya jalankan terhadap data bagi 22 Ops Sikap (2001-2010) menunjukkan trend purata kematian harian yang jelas meningkat, iaitu pada purata 5.4 peratus bagi setiap Ops Sikap atau sekitar purata 10.8 peratus setahun.
Data ini jelas memberi amaran kepada kita bahawa jumlah kematian akan berterusan, sekiranya pengguna jalan masih tidak sedar. Bolehkah kita mengharapkan keajaiban bahawa pada tahun hadapan Ops Sikap akan mengurangkan kematian kepada aras yang lebih rendah, misalnya di bawah 10?
Hasil analisis data saya menunjukkan harapan ini sukar menjadi kenyataan. Petunjuk yang ada pada saya setelah meneliti dan menganalisis data 22 operasi Ops Sikap memberitahu bahawa perangai sebahagian pemandu di Malaysia masih tidak berubah, dan tidak mungkin akan berubah dalam tempoh terdekat, misalnya dalam setahun dua akan datang.
Kalau tempoh dua minggu itu dipecahkan kepada tiga tahap selama lima hari setiap tahap, kajian saya juga menunjukkan bahawa dalam Ops Sikap September 2010 ini, kejadian kemalangan di jalan-jalan dalam kawasan perbandaran adalah tinggi di peringkat awal, kemudian turun di peringkat pertengahan dan naik semula di peringkat akhir.
Sebaliknya, bagi jalan-jalan Persekutuan, kejadian kemalangan adalah rendah di peringkat awal, tinggi di peringkat pertengahan, dan rendah semula di peringkat akhir.
Kemalangan pada lebuh raya tol juga menunjukkan pola tahap-tahap yang hampir serupa dengan jalan kawasan perbandaran iaitu tinggi, kemudian rendah dan tinggi semula.
Tafsiran saya terhadap data ini ialah begitu besarnya kesan balik kampung di negara kita ini, berbanding dengan negara maju. Pola ini sewajarnya dipelajari dan dihayati oleh sesiapa juga yang bakal 'mengemudikan' kereta atau motosikal dalam musim perayaan.
PROFESOR DR. ABD. RAHIM MD. NOR ialah Profesor Pengangkutan Awam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

ANALISIS KERTAS 1 - PERCUBAAN 2010

Sesiapa yang berminat untuk melihat analisis soalan peperiksaan percubaan SPM 2010 yang dibuat mengikut tema buku teks boleh muat turun daripada pautan berikut :

http://groups.yahoo.com/group/bahasa_melayu_ktn/files/SOALAN/SPM/PERCUBAAN%202010/