Bencana alam terutama banjir begitu kerap berlaku di negara ini terutama ketika musim hujan. Bukan sahaja harta benda musnah malah nyawa manusia turut melayang.
Jelaskan punca-punca yang membawa kepelbagaian bencana alam ini.
Sudah pasti kejadian bencana alam ini sesuatu takdir yang sudah ditentukan oleh Tuhan. Namun dalam pada masa yang sama kita sebagai manusia harus memikirkan pelbagai perkara yang membawa bencana ini menjadi semakin meruncing kerana sama ada kita mahu mengaku atau tidak bencana alam ini akan terus berlaku. Pemahaman terhadap punca-punca yang menjurus berlakunya bencana ala mini berupaya menimbulkan tindakan yang mampu menghalang atau mungkin mengawalnya lalu mengurangkan kadar kemusnahan harta benda dan korban manusia pula. Jadi, wujud pelbagai faktor yang membawa berlakunya bencana alam ini.
Punca yang ketara ialah bencana alam merupakan satu mala petaka yang sudah menjadi lumrah dalam sejarah peradaban manusia. Kita sudah sedia maklum dunia ini pasti akan mengalami gempa bumi, tsunami, kebakaran hutan dan juga banjir serta tiupan angin kencang pada bila-bila masa sahaja. Kajian sains telah membuktikan bahawa bumi ini memang senantiasa dalam proses perubahan meliputi kejadian bencana alam itu. Maka, bencana alam berlaku kerana perkara itu merupakan sesuatu fenomena biasa yang menimpa dunia ini sejak berkurun-kurun lalu.
Namun, bencana alam juga boleh dicetuskan akibat kemusnahan alam yang disebabkan oleh aktiviti harian terutama ekonomi manusia sejak berdekad-dekad lamanya itu. Lihat sahaja kemusnahan hutan, udara, laut dan sebagainya yang berlaku dengan begitu pantas terutama dalam era kemodenan manusia ini berbanding dengan zaman purbakala pula. Kemusnahan yang sebegitu sudah pasti akan membawa musibah yang tertentu kerana bumi ini walaupun luas pasti mengambil masa untuk mengimbangi perubahan yang drastik sebegitu. Jadi, bencana alam berlaku kerana dunia mengalami kemusnahan alam yang begitu pantas sehingga dunia itu sendiri tidak mampu untuk mengawalnya.
Malah, bencana alam juga berlaku akibat kegagalan manusia membuat perancangan. Kita semua sedia maklum bahawa manusia sudah boleh meramal musim hujan, kejadian ribut taufan dan juga memahami kejadian tsunami itu tetapi mengapakah angka kematian terus meningkat? Jawapannya mudah sahaja kerana manusia gagal membuat perancangan seperti memberitahu masyarakat lebih awal, membuat latihan untuk menghadapi bencana atau tidak mempunyai piawaian pembinaan bangunan yang baik. Sesungguhnya, kegagalan manusia untuk merancang atau bekerjasama memberikan satu persepsi bahawa kita memandang rendah keupayaan bencana ala mini atau menganggap nilai nyawa manusia itu tidak bernilai lalu membiarkan sahaja bencana alam berlaku begitu sahaja.
Malah, kejadian bencana alam kini mula dikaitkan dengan pemanasan global yang dikatakan menjadi sesuatu perkara lazim dalam peredaran usia bumi ini. Kajian saintis telah membuktikan bahawa bumi ini pasti akan mengalami satu perubahan yang drastik dalam iklim global dunia dalam tempoh masa tertentu. Semua bukti kajian lalu mengesahkan bahawa bencana alam merupakan sesuatu perkara yang akan, sedang dan terus berlaku di dunia ini. Oleh itu, bencana alam turut berlaku akibat perubahan iklim dunia yang dikaitkan dengan fenomena pemasan global.
Kesimpulannya, bencana alam berlaku berdasarkan pelbagai punca seperti yang dihuraikan tadi. Semua faktor ini saling berkait lalu menjadikan bencana alam itu begitu kritikal terutama apabila mengorbankan ribuaan nyawa dengan sekelip mata. Kita perlu sedar dan cuba membantu untuk memulihkan semula alam sekitar kerana itulah jawapan kepada penyelesaian bencana alam ini. Peribahasa hendak buat seribu daya tak hendak seribu dalih menjadi renungan kepada kita semua dalam menangani kemelut ini.
Berapa patah perkataan ni?
ReplyDeleteTerima kasih
Berapa patah perkataan ni?
ReplyDeleteTerima kasih