PROMOSI

Wednesday, November 17, 2010

Karangan Contoh SPM 2010

Kesan-Kesan Teknologi Maklumat (ICT)

Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.

Kehadiran teknologi maklumat merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi maklumat. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dengan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di surat khabar menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Begitulah kelebihan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan.

Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini, istilah www.sesuatu.com.my bukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak berasas dan berbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.

Sebagai penutup bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Sesungguhnya Saidina Ali Abi Talib pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi apabila manusia berdagang dengan harta maka hartanya semakin berkurang.

Kosa kata:
1. seyogia – sepatutnya, selayaknya
2. input – sumber
3. menginjak – mengubah
4. kompetitif – bersaing
5. glokal – tempatan
6. berbaur – bercampur
7. anarki – porak-peranda
8. wahana – saluran
9. kebejatan – keruntuhan


Dicatat oleh Cikgu Anelyza


USAHA TANGGA KEJAYAAN

“Doa kami (guru-guru) sentiasa mengiringi kejayaan anda. Semoga anda mendapat A+ untuk BM dalam SPM 2010 kelak”

Thomas Edison – “Orang yang tidak mengasah mindanya dengan membaca terlepas banyak peluang dalam hidup.”

Alexander of Macedon – “Kita terhutang budi kepada ibu bapa yang membesarkan kita tetapi kita tidak dapat membalas budi guru yang menjadikan hidup kita sempurna.”

James Michener – “Jangan katakan esok apabila hari ini dapat anda lakukan kerana apabila hari ini anda berdalih, anda juga akan berdalih esok.”

Aristotle – “Apabila mahukan kejayaan, janganlah hanya mengira anak-anak tangga tetapi panjatlah anak-anak tangga itu satu persatu.”

Thomas Edison – “Kecerdikan ialah satu peratus inspirasi dan 99 peratus lagi memerlukan kerja keras.”

Kepentingan Memulihara Bangunan Bersejarah

(AT) Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini lebih dikenali sebagai negara yang sedang membangun. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan rumah dibina yang menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan di kedai kopi sehingga sidang di Dewan Parlimen mutakhir ini ialah isu meruntuhkan bangunan bersejarah tetapi perbincangan itu telah membuat keputusan muktamad untuk tidak meruntuhkan bangunan tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga negara-negara yang telah merobohkan bangunan bersejarah seperti di Surabaya, Jakarta. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. (AA)Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.

(AI1) Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. (AH) Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau lagenda. (AC) Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. (AKI) Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.

(AI2) Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. (AH)Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. (AC) Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. (AHC) Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. (AKI) Tuntasnya, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

(AI3) Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. (AH) Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan kehebatan bangunan yang moden seperti Menara Berkembar Petronas. (AC) Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. (AC) Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. (AHC) Usaha seperti ini dapat menarik pelancong dari seluruh dunia dengan lebih banyak dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. (AKI) Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

(AI4) Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. (AH) Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. (AC) Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah dapat memahamkan pelajar tentang peri pentingnya semangat cinta akan tanah air kerana tak kenal maka tak cinta melalui apabila para. (AKI) Sesungguhnya, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.

(AI5) Pemuliharaan terhadap bangunan-bangunan bersejarah itu dapat membuktikan bahawa generasi kini tidak pernah melupakan jerih payah perjuangan masyarakat silam. (AH) Selain menikmati kesenangan dan keselesaan hasil titik peluh warga terdahulu, masyarakat hari ini dapat mencurahkan rasa syukur dan kasih sayang mereka terhadap golongan yang berjaya menyediakan tapak yang kukuh untuk mewujudkan sebuah tamadun. (AC) Buktinya, jutaan ringgit diperuntukkan untuk memelihara dan memulihara bangunan bersejarah di seluruh tanah aiar terutamanya di kawasan-kawasan bersejarah seperti di Melaka, Kuala Lumpur dan Perak. (AKI) Jadi, usaha memelihara dan memulihara bangunan yang dibina oleh masyarakat silam dan menjadikannya sebagai monumen bersejarah merupakan usaha untuk menghargai jasa mereka kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan usaha ini sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa.

(AR) Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. (ACd) Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang. (AHrp) Cintailah sejarah ibu pertiwi kita demi kematangan perjuangan rakyat kita kerana nilai sejarah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.


FOKUS KARANGAN SPM
TEMA : SEMANGAT KEJIRANAN
ARAHAN: LANGKAH PEMUPUKAN


PENDAHULUAN:
AT:
- Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah sama ada di sebelah, di hadapan atau di belakang rumah.
- dianggap sebagai sahabat pada waktu kesusahan – jiran sepakat membawa berkat
- semangat kejiranan ialah semangat membantu masyarakat di sekeliling
- semangat kejiranan semakin luntur kerana sikap masyarakat yang terlalu sibuk bekerja dari pagi hingga malam lalu tiada masa untuk bertegur sapa dengan jiran
AA :
- mempunyai kepentingan – langkah-langkah pragmatik perlu diambil untuk memupuk semangat kejiranan

ISI 1:
AI – menubuhkan persatuan / pertubuhan
AH:
- membentuk persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur
- melibatkan semua penduduk sebagai ahli tanpa mengira kaum
- Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya
AC:
- Pertubuhan Rukun Tetangga – bergilir-gilir mengawasi keselamatan setempat untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini
- mengadakan rondaan bergilir-gilir – memaparkan sikap kerjasama bagai aur dengan tebing
AKI:
- Penubuhan persatuan / pertubuhan dapat mengeratkan hubungan antara jiran

ISI 2:
AI – mengadakan aktiviti gotong-royong
AH:
- jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang untuk menjayakan aktiviti tersebut - dapat berkenal-kenalan dan dapat mengenali hati budi jiran dengan lebih dekat kerana tak kenal maka tak cinta
AC:
- membersihkan kawasan taman perumahan, mengadakan kenduri-kendara dan sebagainya
AKI:
- Aktiviti serampang dua mata – hubungan silaturahim antara jiran terjalin dan kebersihan terjamin

ISI 3:
AI – mengadakan majlis rumah terbuka
AH:
- dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan
- jiran dapat bertanya khabar dan berkongsi pengalaman
- berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah
AC:
- Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan sebagainya dijadikan acara tahunan
AKI:
- mampu merapatkan hubungan antara jiran

ISI 4:
AI – Mengadakan aktiviti Hari Keluarga
AH:
- semua ahli keluarga jiran turut serta
- kemesraan akan terjalin antara semua kaum dan peringkat usia
AC:
- aktiviti berkayak, sukaneka, perlawanan bola sepak, bola tampar dan sebagainya
AKI :
- Di samping dapat mengeratkan hubungan antara jiran, badan juga akan menjadi lebih sihat dan cergas

ISI 5:
AI – menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi / ziarah-menziarahi
AH:
- dapat mengetahui masalah dan kesusahan jiran
- melahirkan rasa simpati dan keprihatinan
- berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga – dapat merasai segala kesusahan dan keperitan jiran
- dapat meringankan beban penderitaan dan menggembirakan hati jiran kerana berat mata memandang, berat lagi bahu memikul
AC:
- menziarahi jiran di hospital apabila dirundung malang
AKI
- semangat kejiranan dapat dipupuk apabila keprihatinan dan keikhlasan ditunjukkan

ISI 6:
AI – Kerajaan mengadakan kempen kesedaran
AH:
- menyampaikan mesej tentang kepentingan semangat kejiranan
- menggunakan wadah media massa untuk menyampaikan mesej
- masyarakat akan mula mempersoalkan semangat kejiranan mereka dan berusaha untuk meninggalkan semangat itu
- kempen perlu berterusan atau berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam
AC:
- menyiarkan iklan yang menarik
AKI:
- peranan kerajaan juga penting untuk memupuk semangat kejiranan

PENUTUP
AR:
- sikap mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan sikap apati pada era ini perlu dikikis dalam setiap sanubari anggota masyarakat
ACd:
- semangat kejiranan yang menebal akan mengukuhkan perpaduan negara – bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
AHrp:
- berusaha dan bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memastikan semangat kejiranan terpelihara demi memastikan keamanan dan keharmonian negara terpelihara

2 comments: