PROMOSI

Friday, August 20, 2010

PERPADUAN ANTARA KAUM DI MALAYSIA

PETIKAN DARIPADA AKHBAR BERITA HARIAN

Keutuhan perpaduan etos bangsa Malaysia
Oleh Teo Kok Seong

ANTARA matlamat utama Gagasan 1Malaysia adalah untuk memupuk dan memperkukuh lagi perpaduan kaum. Perpaduan kaum adalah prasyarat penting yang boleh menjamin kestabilan, yang amat diperlukan untuk kemajuan negara.

Selepas 53 tahun pembentukan negara bangsa Malaysia, tidak dapat dinafikan wujud suasana muhibah antara kumpulan etnik utama Melayu, Cina dan India di Semenanjung. Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai suku peribumi, selain kumpulan etnik Melayu dan bukan Melayu, khususnya Cina, memperlihat hal yang sama. Malah hubungan etniknya lebih harmoni berbanding di Semenanjung.
Dalam hubungan etnik, faktor kaum didapati menjadi elemen utama untuk sama ada menyatupadukan atau memecahbelahkan penduduk multietnik. Hal ini tidak terkecuali di Malaysia. Cara Malaysia menanganinya adalah unik sekali, dengan membenarkan wujudnya kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya.

Kemajmukan etnik dalam bentuk saling kebergantungan antara kelompok Melayu dan bukan Melayu bukan saja menjadi asas penting untuk masyarakat Malaysia bergerak ke hadapan. Tetapi yang lebih penting lagi ialah ia menandakan penerimaan hakikat bahawa Malaysia sebuah negara majmuk dengan kelompok Melayu/Bumiputera sebagai kelompok majoriti/dominan, dan kelompok bukan Melayu sebagai minoriti yang penting.

Dalam kerangka politik begini, kelompok bukan Melayu yang tidak pun menikmati status lebih rendah, bebas mengamalkan cara hidup masing-masing. Mereka dibenarkan mengekalkan budaya masing-masing dalam bentuk utuh, sambil pada masa sama diterima menyertai secara aktif dalam semua institusi politik, ekonomi dan pendidikan negara.

Kebebasan inilah yang menjadi ciri demokratik unggul, selain sifat hidup bermasyarakat istimewa dalam sebuah negara majmuk. Sebetulnya, sukar sekali ditemui negara majmuk seunggul Malaysia apabila sifat kemajmukan etnik dan dasar kepelbagaian budaya begini diambil kira.
Sehubungan ini, pendidikan vernakular, baik dalam bahasa Mandarin mahupun Tamil, diterima sebagai sebahagian penting dalam sistem pendidikan kebangsaan. Urus tadbir negara ikut menganjurkan representasi tulen kedua-dua kelompok Melayu dan bukan Melayu, dengan pelantikan perwakilan semua kumpulan etnik baik dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak.

Walaupun sudah lama bermastautin di Malaysia, kelompok bukan Melayu belum bersedia berasimilasi, dan memohon agar perbezaan bahasa, budaya dan agama mereka terus diiktiraf. Dengan ini, mereka mahu terus wujud sebagai minoriti etnik dan bersatu dengan kelompok Melayu/Bumiputera hanya sebagai Bangsa Malaysia dalam bentuk kemajmukan etnik dan tidak sekali-kali asimilasi.

Gagasan 1Malaysia bukan saja menghormati, malah menghargai kehendak mereka. Ini dilakukan dengan membenarkan setiap kumpulan etnik dan suku terus mengekalkan identiti masing-masing. Kepelbagaian identiti ini adalah aset serta kelebihan yang disanjungi di luar negara.

Sehubungan ini, pengurusan etnik secara bersatu dalam kepelbagaian, dengan pelbagai kumpulan etnik dan suku bertutur dalam bahasa berbeza, mengamalkan budaya yang tidak sama, serta menganuti berlainan agama, adalah kisah kejayaan yang dikagumi oleh banyak negara.

Dalam konteks ini, masyarakat Malaysia yang kelihatan ingin terus mengekalkan pengasingan, sebetulnya disatukan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Perlembagaan Persekutuan yang digubal bersama itu ikut memasukkan Pakatan Kemerdekaan sebagai antara prinsip asasnya.

Pakatan Kemerdekaan adalah persetujuan bersama mengenai isu kewarganegaraan dalam kelompok bukan Melayu dan bahasa, agama serta hak kelompok Melayu/Bumiputera.

Dalam corak pengurusan etnik sebebas ini di Malaysia, kelompok bukan Melayu perlu memastikan dalam apa-apa jua cara sedar bahawa mereka tidak boleh sekali-kali mengabaikan kewajipan dan tanggungjawab. Antaranya adalah untuk lebih mempamerkan jati diri kebangsaan daripada jati diri etnik.

Dalam konteks Malaysia sebagai tanah asal kumpulan etnik Melayu, yang juga kaum majoriti, jati diri kebangsaan tidak dapat lari daripada teras Melayu.
Sesungguhnya teras Melayu, sama ada secara benar mahupun simbolik, sudah lama wujud dalam landskap politik dan budaya tanah air. Ia wujud pada bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, dan sistem beraja.

Jati diri kebangsaan perlu wujud dalam bentuk semangat kebangsaan berasaskan aspirasi yang dikongsi bersama, yakni kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya, selain penerimaan teras Melayu. Dengan kata lain, semangat ini selain berbentuk majmuk, yakni terdiri daripada pelbagai jati diri etnik dan suku, tidak boleh sekali-kali meninggalkan teras Melayu. Antaranya adalah kecekapan berbahasa Melayu.

Dalam konteks perpaduan kaum, Gagasan 1Malaysia tidak menganjurkan sebarang perubahan sosial, sama ada drastik atau beransur-ansur, yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada, sama ada kelompok Melayu mahupun bukan Melayu. Perpaduan kaum yang diformulasikan dalam Gagasan 1Malaysia, sebetulnya kaedah lama untuk meneruskan kemajmukan etnik yang disenangi selama ini oleh semua kaum.

Bagaimanapun, tekad untuk menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia dalam Gagasan 1Malaysia, perlu diakui sebagai luar biasa, jika dibandingkan dengan sebelumnya. Ini antaranya dapat dilihat pada penggunaan ‘penerimaan’ yang menggantikan ‘toleransi’ dalam kempen sebelum ini. Dengan menerima bahasa, budaya dan agama kaum lain dengan fikiran terbuka sebagai keunikan, kita sebetulnya menerima hakikat Malaysia dulu, kini dan selama-lamanya adalah negara majmuk.

Ini adalah antara destini yang perlu diterima. Justeru hubungan etnik di Malaysia perlu dipupuk dengan penuh kesederhanaan, akomodasi, penerimaan dan permuafakatan. Sehubungan ini, perpaduan kaum yang harmoni bukan saja satu etos yang perlu terus dipupuk, tetapi satu keperibadian nasional yang perlu dibentuk, untuk mendukung jati diri kebangsaan.

Penulis ialah Felo Penyelidik Utama/Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu UKM

Dicatat oleh Cikgu Abd Razak Bin Hassan

No comments:

Post a Comment